Penguasaan Pelbagai Bahasa Kekuatan, Bukan Kelemahan – Anwar

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu lebih matang dalam menerima hakikat kepelbagaian bahasa sebagai satu kekuatan negara, bukan kelemahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Huazong 2026, beliau menekankan bahawa dalam sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan demokratik, rakyat harus menyantuni serta memberi ruang kepada perkembangan bahasa-bahasa lain.

“Dalam sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan demokratik, rakyat harus menjadi lebih matang menerima hakikat bahawa menyantuni serta memberi ruang kepada perkembangan bahasa-bahasa lain adalah kekuatan, bukan kelemahan,” katanya.

Anwar berkata, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetap terpelihara dan mesti dihormati.

Katanya, kerana ini tanah air bersama, maka sejarahnya wajib difahami dan bahasanya wajib dikuasai.

Namun, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa lain khususnya Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Menurutnya, Bahasa Cina kini menjadi bahasa ekonomi yang signifikan di rantau Asia dan dunia, malah ditawarkan sebagai bahasa pilihan di banyak universiti terkemuka.

“Dalam masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina juga penting.

“Bahasa Cina kini menjadi bahasa ekonomi yang signifikan di rantau Asia dan dunia, malah ditawarkan sebagai bahasa pilihan di banyak universiti terkemuka,” katanya.

Perdana Menteri percaya bahawa usaha memperkukuh Bahasa Melayu perlu berjalan seiring dengan penguasaan bahasa-bahasa lain demi masa depan anak-anak dan daya saing negara.

“Saya percaya bukan Bahasa Melayu sahaja terus diperkukuh tetapi kita perlu mengangkat keupayaan penguasaan bahasa-bahasa lain demi masa depan anak-anak dan daya saing negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat