Penguatkuasaan perlu lebih tegas dalam isu 3R – ABIM

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Ahmad Samsudin menegaskan bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan mereka terutamanya di platform awam seperti media sosial.

Beliau berkata, kepentingan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas berkaitan isu kaum, agama dan raja (3R) kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Sikap terburu-buru dalam media sosial boleh menyebabkan kita hidup dalam keadaan yang tidak tenteram.

“Walaupun sebahagian masyarakat sedar implikasi undang-undang dan sosial, masih ada segelintir yang mengabaikannya,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Menurut Fahmi, terdapat individu yang sengaja memainkan isu 3R dengan keyakinan bahawa mereka boleh melepaskan diri hanya dengan permohonan maaf.

Oleh itu, beliau menekankan perlunya pemahaman dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan dan pihak berkuasa mempertingkatkan usaha komunikasi melalui media sosial, program pendidikan serta dialog terbuka untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap batasan dan risiko isu 3R.

“Cabaran utama ialah memastikan peringatan kerajaan benar-benar difahami dan dihayati.

“Hukuman perlu dikenakan terhadap mereka yang mencetuskan isu sensitif ini, walaupun selepas meminta maaf kerana kesannya boleh berpanjangan dan mempengaruhi persepsi masyarakat,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat