PETALING JAYA: Laporan terkini daripada Ilham Centre menunjukkan peningkatan sokongan pengundi di Ayer Kuning terhadap calon Kerajaan Perpaduan, mencerminkan penilaian matang rakyat terhadap prestasi dan tawaran realistik kerajaan negeri.
Menurut Pengarah Operasi Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N48 Ayer Kuning, Salman Saleh, rakyat kini lebih bijak dalam memilih calon yang mampu membawa manfaat nyata kepada kawasan mereka.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak membazirkan undi dengan memilih calon yang tidak bersekutu dengan kerajaan yang berupaya memberikan perubahan serta pembangunan.
“Pengundi Ayer Kuning semakin faham bahawa calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan, khususnya daripada Barisan Nasional (BN), memiliki laluan langsung untuk membawa suara mereka ke peringkat tertinggi.
“Mereka bukan sahaja mewakili rakyat, tetapi juga berpeluang untuk menyalurkan hasil yang konkrit bagi kemajuan kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Salman turut mengkritik pendekatan politik yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya sering menggunakan isu-isu sensitif seperti kaum dan agama untuk membakar sentimen masyarakat.
Beliau berkata, isu seperti ladang babi yang dimainkan PN, katanya, hanya bertujuan membakar sentimen dan mencetuskan perpecahan di kalangan masyarakat sahaja.
“Rakyat tidak mahu politik yang memecah belah. Mereka mahukan penyelesaian dan perpaduan.
“Isu-isu sensitif seperti ini tidak lagi memberi kesan kepada pengundi,” tambahnya.
Oleh itu, beliau menggesa pengundi Ayer Kuning untuk memilih calon yang benar-benar berkemampuan bekerja demi kepentingan rakyat, bukan sekadar calon yang pandai berucap tanpa membawa hasil.
“Rakyat mahukan calon yang boleh memberi manfaat, bukan hanya yang berpolitik tanpa membawa hasil,” tegasnya.