PETALING JAYA: Corak pemilihan pengundi Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 memperlihatkan perbezaan ketara berbanding di Semenanjung, apabila faktor calon menjadi penentu utama berbanding jenama parti, kata Pensyarah Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.
Beliau berkata, di Semenanjung, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, kecenderungan memilih parti lebih dominan sehingga menyebabkan calon yang kurang kompeten tetap berpeluang menang sekiranya bertanding atas logo tertentu.
“Ada yang prestasinya lemah selepas menang tetapi jika bertanding lagi tetap berpotensi menang kerana pengundi memilih parti, bukan calon,” katanya.
Namun di Sabah, katanya, budaya politik berbeza kerana pengundi lebih menilai rekod peribadi calon, kedekatan dengan komuniti serta prestasi sepanjang masa, bukan hanya ketika kempen dua minggu berlangsung.
“Dalam satu segi, inilah bijaknya pengundi Sabah. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan identiti parti,” katanya.
Dr Yusri berkata, faktor calon di Sabah jauh mengatasi faktor parti dan isu, menjadikan reputasi serta hubungan calon dengan masyarakat sebagai ukuran utama sebelum undi diberikan.
Menurutnya, keadaan itu turut memberi kelebihan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang banyak mempertaruhkan figura popular di kawasan masing-masing termasuk apa yang digelar arwah penyelidik politik Doc Midin sebagai ‘bigman’.
Beliau berkata, parti lain yang menampilkan tokoh besar juga berpeluang memenangi kerusi, namun kehadiran lebih daripada seorang ‘big figure’ dalam satu DUN boleh menyebabkan pecahan undi ketara.
Antara contoh jelas ialah di DUN Bongawan, yang menyaksikan pertembungan tiga nama besar iaitu Datuk Alamin (BN), Tan Sri Anifah Aman (GRS) dan Dr Daud (WARISAN).
Dr Yusri menjangka berlaku rekahan undi antara Alamin dan Anifah, sekali gus membuka peluang kepada Dr Daud yang aktif bersama komuniti tempatan.
Beliau menyifatkan faktor calon akan menjadi penentu utama kemenangan di 73 DUN pada 29 November ini, namun menegaskan bahawa tempoh kempen masih panjang dan peluang tetap terbuka selagi peti undi belum ditutup.








