Pengurangan Tarif AS: Bukan sebab nasib tapi kebijaksanaan dan kekuatan – AMK

PETALING JAYA: Kejayaan kerajaan mengurangkan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat daripada 25 peratus kepada 19 peratus disifatkan sebagai bukti kerajaan Madani tidak tunduk kepada tekanan luar, sebaliknya berunding berasaskan kepentingan rakyat.

Menurut Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, pencapaian itu membuktikan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dihormati di pentas antarabangsa, sambil mengekalkan pendirian tegas mempertahankan dasar nasional.

“Pengurangan tarif itu memberi kelebihan besar kepada syarikat tempatan dalam menembusi pasaran global, selain meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap daya saing industri negara.

“Lebih penting, kejayaan ini dicapai tanpa negara perlu mengorbankan dasar utama seperti pelan transformasi industri, perlindungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta agenda pembangunan hijau dan teknologi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan diplomasi ekonomi yang diterajui kerajaan Madani adalah manifestasi kepada perubahan budaya pentadbiran yang lebih profesional, konsisten dan berpandangan jauh.

Dalam pada itu, AMK turut menyeru golongan muda, khususnya usahawan, pengeluar dan pengeksport, supaya memanfaatkan peluang hasil kejayaan rundingan ini untuk memperkukuh kehadiran di pasaran antarabangsa.

“Malaysia tidak lagi bergantung kepada nasib. Kita kini berdiri atas dasar kebijaksanaan dan kekuatan sendiri,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat