Oleh: Aliyaa Azmi
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan pengurusan kelab bola sepak tempatan yang disifatkan menjejaskan prestasi pasukan serta menurunkan keyakinan penaja.
Beliau berkata kelewatan pembayaran gaji pemain serta masalah tadbir urus bukan sahaja melemahkan semangat pemain, malah mencetuskan keraguan dalam kalangan penaja untuk terus melabur dalam industri bola sepak negara.
“Pemain yang tidak menerima gaji mengikut jadual akan hilang fokus dan motivasi. Keadaan ini secara langsung menjejaskan prestasi pasukan di atas padang,” katanya kepada Malaysia Bangkit hari ini.

Menurutnya, pengurusan kewangan yang lemah boleh menyebabkan kelab kehilangan kepercayaan penaja, seterusnya menyukarkan usaha mendapatkan penajaan baharu.
“Penaja akan berfikir dua kali untuk menaja jika kelab gagal menunjukkan rekod kewangan yang baik. Ia merugikan kelab dan memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan liga tempatan,” katanya.
Husin menyokong kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang sebelum ini menggesa supaya pengurusan kelab bola sepak diperbaiki demi menjaga ekosistem sukan negara.
Beliau turut menekankan keperluan pentadbiran kelab yang cekap dan bertanggungjawab sebagai kunci kemajuan sesebuah pasukan.
“Pengurusan yang baik dan tersusun mampu membawa kelab ke tahap lebih profesional. Kalau kelab terus bergelut dengan isu dalaman, sukar untuk mereka bangkit semula,” katanya.

Mengulas model pengurusan yang berjaya, Husin menjadikan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh terbaik dalam aspek pentadbiran dan kestabilan kewangan.
“JDT membuktikan bahawa kelab boleh berjaya dengan pengurusan yang mantap. Kelab lain seharusnya mencontohi mereka,” ujarnya.
Beliau berharap agar kerajaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memberikan sokongan bersasar kepada kelab-kelab yang masih bergelut, khususnya dari segi pemulihan kewangan pasca pandemik.
Baca juga: