Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Dunia fesyen digemparkan dengan pendedahan mengejutkan oleh seorang pempengaruh China yang juga pengusaha Original Equipment Manufacturer (OEM) untuk jenama mewah global.
Dalam video TikTok yang kini tular, beliau mendakwa bahawa lebih 80 peratus produk mewah termasuk beg ikonik Hermès Birkin, sebenarnya dihasilkan di kilang-kilang di China sebelum dihantar ke Eropah untuk pemasangan logo dan pembungkusan semula.
Produk itu kemudian dikatakan dijual dengan harga yang melambung tinggi.
Beg Hermès Birkin yang dijual sekitar USD38,000 (RM180,000) dikatakan hanya menelan kos penghasilan sekitar USD1,400 (RM6,500).
Malah, versi tanpa jenama atau logo boleh didapati seawal USD1,000 sahaja.
“Bayangkan anda ada beg Hermès. Tiba-tiba label ‘Made in France’ ditukar kepada ‘Made in China’. Semuanya masih sama; zip, kulit premium, jahitan tapi adakah anda masih anggap ia mewah?
“Kalau rasa tak lagi mewah, itulah bukti betapa kuatnya ilusi pemasaran,” katanya.
Pendedahan ini, walaupun bukan perkara baharu dalam kalangan industri, menjadi lebih lantang selepas hubungan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China meruncing sejak era pentadbiran Donald Trump.
“Sebenarnya ini rahsia terbuka, tapi sejak Trump mula perang tarif dengan China, ramai pembekal dan kilang kami dah tak kisah nak ‘tumpahkan tea’.
“Kami letih jadi tulang belakang jenama Barat, tapi tak diberi pengiktirafan,” tambah pempengaruh itu.
Beliau turut mendedahkan bahawa kilangnya pernah menghasilkan produk untuk jenama ternama seperti Gucci, Prada dan Coach.
Namun, para pekerja hanya menerima gaji biasa, manakala syarikat Barat menikmati margin keuntungan luar biasa hasil ‘label’ dan ilusi eksklusif.
Dakwaannya bahawa produk buatan China memiliki kawalan kualiti ketat, kemahiran artisan tinggi dan rantaian bekalan yang cekap, cukup untuk menyaingi atau mengatasi produk mewah di butik Paris atau Milan.
“Kita tak perlu lagi tertipu dengan jenama. Produk kami berkualiti tapi beza besarnya hanyalah logo,” katanya.