Peniaga Pasar Seni kecewa, pengunjung ramai tapi pembeli cuma 3 orang saja

KUALA LUMPUR: Beberapa peniaga tempatan yang menjual barangan tempatan Pasar Seni dekat sini merayu sokongan seluruh rakyat Malaysia agar dapat melariskan jualan barangan tempatan yang kini semakin terjejas akibat lambakan produk import terutamanya dari China.

Menerusi perkongsian seorang peniaga di laman Thread iaitu ‘Pandameow_estore’, menyatakan bahawa jualan mereka semakin merosot walaupun kawasan itu menjadi tumpuan utama para pelancong sepanjang hari.

“Tak pasti apa silap kami, jalan sememangnya penuh dengan ramai orang selama 12 jam tapi yang membeli hanya tiga hingga ke lima orang sahaja.

“Adakah kerana lambakan barangan China pun makin bertambah, jadi peniaga kecil barangan kraftangan tempatan semakin tenggelam, setelah tiga tahun berniaga di Pasar Seni, semakin hari semakin merosot,” katanya.

Beliau sendiri mengakui keadaan semakin sukar dan tidak menolak kemungkinan tahun depan menjadi tahun terakhir mereka bertahan.

“Kamu semua datanglah sokong hari-hari terakhir kami di sini, ujarnya dalam nada sebak,” sambungnya lagi.

Difahamkan, peniaga berkenaan masih beroperasi di Kasturi Walk, Pasar Seni Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dan amat mengharapkan sokongan rakyat Malaysia dapat menghidupkan semula semangat perniagaan kecil tempatan yang kian terhimpit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat