Oleh: Farah Natasya
KUCHING: Seorang peniaga import barangan mengalami kerugian kira-kira RM300,000 akibat terpedaya penipuan pertukaran mata wang China (RMB) di aplikasi ‘WeChat Moment’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Datuk Mancha Ata berkata, lelaki berusia 20-an itu mendakwa tertarik dengan iklan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan tersebut semasa berada di sebuah daerah dekat sini.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek untuk membuat pertukaran kepada mata wang China (RMB) ke dalam aplikasi akaun ‘Alipay’.
“Suspek menawarkan kadar pertukaran sebanyak 1.56 peratus dan menyatakan mata wang China RMB akan dimasukkan ke dalam akaun Alipay.
“Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu group WeChat dan diarahkan oleh suspek untuk membuat pembayaran dan caj perkhidmatan mata wang RMB.
“Mangsa telah terpedaya dan membuat pembayaran secara pemindahan dalam talian bermula daripada penghujung bulan Jun 2024 sehingga awal bulan Ogos 2024.
“Mangsa telah membuat 19 transaksi wang secara berperingkat ke lapan akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM300,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mancha memberitahu mangsa telah membuat semakan di aplikasi akaun Alipay namun tidak menerima sebarang atau wang China RMB yang dinyatakan oleh suspek malahan akaun mangsa telah disekat dan dikeluarkan daripada group WeChat.
Tegasnya, orang awam dinasihatkan agar tidak memberikan maklumat perbankan dan membuat sebarang pembayaran kepada individu atau mana-mana pihak yang tidak dikenali.
“Orang ramai juga digalakkan untuk menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menjadi mangsa penipuan siber (‘phone scam’, ‘love scam’, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) sekiranya baru sahaja membuat transaksi pindahan wang ke mana-mana akaun keldai/sindiket penipuan,” ujarnya.