Peniaga Wanita Rugi RM66,000 Terpedaya Tawaran Kerja Sambilan Palsu

TANGKAK: Seorang peniaga wanita berusia 36 tahun kerugian sebanyak RM66,825 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud melalui sebuah aplikasi e-dagang popular.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, mangsa menerima tawaran kerja menerusi aplikasi berkenaan dan diminta melaksanakan beberapa tugasan dengan janji akan menerima komisen selepas tugasan selesai.

“Bagaimanapun, selepas mangsa mengikut semua arahan dan menyiapkan tugasan seperti diminta, tiada sebarang bayaran diterima seperti dijanjikan.

“Mangsa dipercayai telah melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM66,825,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

“Buat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan atau pekerjaan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat