Peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan tidak ubah permintaan sektor terlibat

Peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan sebanyak 6 peratus kepada 8 peratus bermula 1 Mac dijangka tidak akan memberi perubahan pasaran yang ketara bagi kategori yang disasarkan di samping tidak terlalu membebankan rakyat.

Menurut Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Noor Hilmi Mohd Johan berkata, kenaikan kadar cukai kali ini hanya akan memberi kesan kepada segelintir masyarakat sahaja kerana ia melibatkan beberapa sektor tertentu.

“Hanya segelintir masyarakat akan terkesan dengan kenaikan kadar ini memandangkan kerajaan hanya menaikkan Cukai Perkhidmatan ini dalam sektor-sektor tertentu sahaja,” katanya dihubungi Malaysia Bangkit.

Hilmi turut menjangkakan bahawa tiada perubahan pasaran yang ketara kesan daripada kenaikan kadar cukai ini kerana para pengguna akan menyesuaikan kadar penggunaan mereka dengan pembaharuan cukai ini.

“Para pengguna akan dapat melaraskan keperluan mereka dan menyesuaikan diri dengan polisi cukai yang baharu.

“Saya juga percaya bahawa para pengusaha perkhidmatan termasuk bank akan menambah promosi perkhidmatan dan produk mereka untuk kekal relevan dengan perubahan harga yang berlaku ekoran peningkatan cukai kali ini,” ujarnya.

Hilmi juga berpendapat kenaikan kadar cukai akan memberikan impak besar kepada ekonomi negara seperti pertambahan sumber pendapatan negara dan pengawalan inflasi.

Ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan MADANI demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti yang digariskan dibawah kerangka ekonomi MADANI.

Antara kenaikan kadar cukai yang dinaikkan pada kadar 8 peratus adalah yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018.

Kenaikan kadar cukai ini tidak melibatkan keperluan asas pengguna seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir kenderaan yang kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat