Peningkatan Kematian Pesakit Dialisis di Gaza Akibat Serangan, Sekatan Perubatan

GAZA: Sejak Oktober tahun lalu, lebih 40 peratus pesakit dialisis di Gaza dilaporkan meninggal dunia akibat serangan berterusan rejim Zionis ke atas kemudahan kesihatan serta sekatan akses perubatan yang semakin meruncing.

Menurut laporan Anadolu, krisis kemanusiaan di wilayah bergolak itu semakin meruncing dengan perpindahan penduduk yang berterusan.

Ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan serba kekurangan.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, menyatakan bahawa puluhan penduduk awam terkorban dan cedera ketika beratur untuk mendapatkan bantuan makanan berhampiran pusat agihan yang dikawal tentera di Rafah dan Deir al-Balah.

“Serangan berterusan Israel ke atas kemudahan kesihatan telah menjejaskan banyak perkhidmatan penting termasuk di Pusat Dialisis Noura Al Kaabi di Gaza Utara yang disasarkan pada Ahad lalu,” katanya.

Dujarric turut memetik laporan Kementerian Kesihatan Gaza yang mengesahkan bahawa sejak serangan memuncak pada Oktober 2023, lebih 40 peratus pesakit dialisis telah meninggal dunia selepas kemudahan rawatan diserang atau tidak lagi boleh diakses.

Beliau juga memberi amaran tentang peningkatan jumlah penduduk yang terpaksa berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain dalam wilayah yang semakin sempit.

“Pada Sabtu, pihak berkuasa Israel mengeluarkan arahan pemindahan tambahan di Khan Younis dan Deir al-Balah, yang memberi kesan kepada kira-kira 100,000 penduduk melibatkan lebih 200 lokasi penempatan sementara,” ujarnya.

Sejak 18 Mac, agensi kemanusiaan menganggarkan bahawa lebih 640,000 penduduk, hampir satu pertiga daripada keseluruhan populasi Gaza telah terpaksa berpindah semula dalam tempoh tersebut.

Walaupun lebih 300 trak bantuan berjaya dibawa masuk melalui lintasan Kerem Shalom selepas ia dibuka semula, akses kepada bantuan masih tidak konsisten.

“Hari ini, salah satu percubaan kami untuk mengambil bekalan dari Kerem Shalom telah ditolak,” jelas beliau.

Serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan hampir 54,500 rakyat Palestin terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Agensi bantuan antarabangsa turut memberi amaran tentang risiko kebuluran yang semakin meningkat dalam kalangan lebih dua juta penduduk yang masih terperangkap di Gaza.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes berasingan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung dakwaan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk awam Palestin.

Anda Mungkin Berminat