Oleh: Alyaa Azmi
PETALING JAYA: Peningkatan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 55 peratus dalam tinjauan Merdeka Center baru-baru ini mencerminkan harapan rakyat Malaysia terhadap kepimpinan yang stabil dan berwibawa dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
Menurut Merdeka Center, lonjakan sokongan ini dipacu oleh faktor seperti peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan tunai kepada penjawat awam, inflasi yang rendah pada kadar 1.4 peratus serta pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025.
Tinjauan itu juga menunjukkan rakyat semakin yakin dengan kestabilan politik negara apabila Anwar memimpin kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Pakar geostrategi, Dr Azmi Hassan berkata, corak sokongan itu sejajar dengan trend global di mana rakyat di negara seperti Singapura, Australia dan Kanada memilih pemimpin yang diyakini mampu mengemudi negara dalam suasana dasar antarabangsa yang tidak menentu.
“Seperti rakyat Singapura memilih Lawrence Wong, rakyat Australia memilih Anthony Albanese dan rakyat Kanada menyokong Mark Carney, rakyat Malaysia juga mahukan seorang pemimpin yang boleh diharapkan.
“Mereka mahu kestabilan dalam suasana dunia yang goyah,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Beliau turut memuji tindakan kerajaan yang menghantar Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Amerika Syarikat bagi membincangkan isu tarif sebagai langkah strategik yang mencerminkan kepekaan terhadap perkembangan ekonomi global.
“Langkah itu menunjukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tahu apa yang perlu dilakukan.
“Ia bukan lawatan biasa tetapi satu tindakan strategik untuk mempertahankan kepentingan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi menyifatkan rakyat Malaysia sebagai matang dan rasional dalam membuat keputusan politik serta lebih cenderung kepada perubahan secara aman.
“Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Rakyat Malaysia lebih suka perubahan yang aman.
“Mereka rasional dan akan menyuarakan pendirian bila tiba masanya,” ujar beliau.
Beliau turut menggesa kerajaan memperkukuh keyakinan rakyat dengan melaksanakan langkah konkrit seperti menangani kos sara hidup, memperbaiki integriti pentadbiran dan memperluas peluang ekonomi.
“Jika kerajaan berjaya menyampaikan dasar secara telus dan dekat dengan rakyat, tidak mustahil sokongan yang kini bersifat bersyarat akan bertukar menjadi sokongan mutlak,” katanya.