PETALING JAYA: Peningkatan undi yang diperoleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam telah dijangka antaranya faktor pertambahan pengundi baru.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, peningkatan itu juga mencerminkan kelompok yang tidak berpuas hati dengan isu-isu nasional semasa.
“Bagi saya, PSM mendapat kenaikkan undi daripada 586 kepada 1,106 undi disebabkan oleh pertambahan pengundi automatik, pengundi kali pertama dan kumpulan yang tidak berpuas hati dengan isu-isu nasional,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr.Tawfik menegaskan bahawa peningkatan undi PSM tidak berpunca daripada sokongan undi moral.
“Saya sebenarnya tidak bersetuju PSM meraih peningkatan undi disebabkan oleh sokongan undi moral yang cakna tentang kehidupan berbanding politik ketakutan.
“Sukar bagi pengundi untuk termakan dengan sentimen politik yang dibawa oleh PSM, kerana kebanyakan manifesto parti tersebut dianggap tidak realistik jika mereka menang dalam PRK kali ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa keputusan DUN Ayer Kuning semalam merupakan isyarat jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa negara sedang bergerak ke arah politik nilai yang matang dan harmoni.
Malah, katanya, keputusan PRK tersebut juga memperlihatkan momentum kejayaan kerjasama politik dalam kerajaan perpaduan yang semakin kukuh dan erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Terdapat 11 PRK yang telah dilaksanakan selepas PRU 15 dan PH dan BN berjaya menang lapan kerusi PRK yang dipertandingkan.
“Kita tidak boleh nafikan kerjasama ini telah berjaya malah dibuktikan menerusi peralihan undi daripada penyokong PH kepada calon BN dan peningkatan majoriti yang besar sekali ganda berbanding dalam PRU 15 lalu,” katanya.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya mempertahankan kerusi Ayer Kuning dengan menang majoriti 5,005 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu meraih 11.065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN yang memperoleh 6,059 undi dan calon PSM, Bawani KS (1,106 undi).
Baca juga: