Penipuan Dalam Talian: 47 Ditahan, KPKM Serah Siasatan Kes Agrobank

SHAH ALAM: Kes kerugian melebihi RM200 juta yang dialami Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) akibat jenayah penipuan dalam talian akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berwajib untuk disiasat, menurut Kementerian Pertanian dan dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata siasatan berhubung perkara itu berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kita serahkan 100 peratus kepada mereka untuk menjalankan siasatan. Saya tidak boleh mengulas lanjut,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Agrobank mengalami kerugian sebanyak RM203.8 juta akibat penipuan dalam talian yang dilaporkan pada November tahun lalu, melalui jawapan bertulis di Parlimen.

Menurut Saifuddin, seramai 47 individu telah ditahan berkaitan kes tersebut, dengan tiga daripadanya telah didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan akaun keldai.

Beliau turut memaklumkan bahawa penipuan berkenaan tidak melibatkan mana-mana akaun pelanggan Agrobank, namun butiran lanjut tidak didedahkan.

Siasatan terhadap baki 44 suspek masih diteruskan, dengan polis sedang memuktamadkan kertas siasatan hasil kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat