Penipuan pelaburan: Lapan individu ditahan, RM3.17 bilion aset disita

PETALING JAYA: Dua peguam bergelar Datuk antara lapan individu ditahan selepas disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan ‘Ponzi Scheme’ atau ‘Pelaburan MBI’ yang berpusat di negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, mereka ditahan menerusi Operasi Northern Star (Op Northern Star) oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urusetia Ketua Polis Negara, Bukit Aman, pada 20 Mac lalu, melalui tindakan rentas negara hasil maklumat Notis Merah dari Polis Antarabangsa (INTERPOL).

“Tangkapan ini melibatkan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 44 hingga 52.

“Mereka termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk dan semuanya direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613).

“Pasukan AMLA turut membeku dan menyita aset dianggar berjumlah RM3,174,769,204.74.

“Semua aset yang dirampas dan dibekukan itu dipercayai adalah hasil perolehan haram dikaitkan dengan pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Razarudin berkata, antara aset yang dirampas dan dibekukan ialah 638 akaun bank dan saham bernilai RM1.16 bilion, 35 unit hartanah dianggar bernilai RM2.01 bilion, 10 unit kenderaan mewah, 12 utas jam tangan mewah, wang tunai, barang kemas, enam telefon bimbit, dua komputer riba, empat beg tangan mewah dan pelbagai dokumen penting.

Beliau berkata, PDRM akan meneruskan siasatan terhadap individu atau entiti yang disyaki terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, menggunakan atau melupuskan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat