KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan ketegasan membanteras kegiatan penjaga parkir haram melalui Ops Jaga Siri 17, yang dijalankan di kawasan tumpuan awam sekitar pusat bandar.
Operasi kali ini memfokuskan tindakan di Jalan Sultan Ismail (Maybank Bukit Bintang) dan Lorong Pudu 14, Bukit Bintang, lokasi yang dikenal pasti sering menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab mengutip bayaran parkir tanpa kebenaran.
DBKL menegaskan komitmen memastikan jalan raya dan petak parkir awam bebas daripada eksploitasi pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengawal laluan serta mengutip wang parkir tanpa kuasa sah.
“Kegiatan ini bukan sahaja mengganggu kelancaran lalu lintas dan ketenteraman awam tetapi turut mewujudkan suasana tidak selamat kepada pengguna jalan raya serta pelawat di pusat bandar,” menurut kenyataan DBKL.
Hasil risikan dan operasi bersepadu, beberapa individu ditahan kerana melakukan kesalahan mengarah atau menjaga kenderaan tanpa kuasa sah di kawasan awam.
Mereka dikesan aktif mengutip bayaran parkir haram dan mengawal laluan di lokasi terbabit.
Individu yang ditahan dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan DBKL untuk proses dokumentasi dan pendakwaan.
Keputusan mahkamah mendapati seorang penjaga parkir haram di Jalan Sultan Ismail dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara dua bulan, manakala keputusan muktamad menyaksikan pesalah dikenakan hukuman penjara dua bulan DTT (dibuat serta-merta tanpa tangguh).
Tindakan sama turut dikenakan terhadap pesalah yang ditahan di Lorong Pudu 14.
DBKL menegaskan kegiatan penjaga parkir tanpa kebenaran adalah kesalahan serius dan operasi Ops Jaga akan diteruskan dari masa ke masa khususnya di ‘hotspot’ sekitar pusat bandar yang sering disalahgunakan golongan ini.
Orang awam digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan kegiatan penjaga parkir haram melalui portal ADU@KL di pautan: http://adukl.dbkl.gov.my.








