Penjaja belon bertindak agresif selepas ditegur tiga kali – DBKL

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bahawa anggota penguatkuasanya telah memberi teguran sebanyak dua kali kepada seorang penjaja belon sebelum dia bertindak agresif terhadap petugas di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, teguran bukan sahaja diberikan kepada penjaja belon tersebut, tetapi kepada beberapa penjaja tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR ketika penguatkuasa melakukan rondaan berkala.

Kata DBKL, teguran diberikan kerana kehadiran mereka telah menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan, terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang menyaksikan kehadiran pengunjung yang tinggi.

“Seperti amalan biasa, DBKL memaklumkan telah memberi teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar daripada kawasan tersebut.

“Namun begitu, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali.

“Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya pada Sabtu.

Susulan itu, DBKL berkata, bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden lebih serius, anggota penguatkuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaga terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.

Bagaimanapun, menurut DBKL, situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” kata DBKL.

Mengulas lanjut, DBKL memberi jaminan akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak daripada berlaku.

“Satu laporan polis juga telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian itu,” tambah DBKL.

DBKL juga menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dilakukan berdasarkan peraturan yang ditetapkan tanpa sebarang motif perkauman.

Sehubungan itu, pihaknya meminta semua pihak untuk menghentikan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan dan terus memastikan keharmonian serta keselamatan awam terpelihara.

Terdahulu, satu video memaparkan seorang penjual belon didakwa dikasari penguatkuasa DBKL di Jalan TAR tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 1 minit 43 saat itu, beberapa orang penguatkuasa DBKL dilihat bergelut dengan seorang lelaki yang membawa belon.

‘Abang belon’ tersebut dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen di kawasan tersebut.

Berdasarkan rakaman tersebut, kekecohan berlaku apabila penguatkuasa mahu merampas belon yang dibawa lelaki berkenaan.

Berlaku pergelutan antara lelaki itu dengan penguatkuasa terbabit sehingga dilihat dia dikasari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat