Penjawat Awam Dibenar Bekerja Dari Rumah Sempena Sidang Kemuncak ASEAN

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) secara fleksibel untuk penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan semasa.

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dasar itu digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) dan bertujuan untuk memastikan keseimbangan antara tuntutan tugas serta kesejahteraan pegawai.

“Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kesinambungan tugas dan keperluan pegawai dari segi kesejahteraan serta keharmonian kerja-kehidupan (work-life balance),” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan BDR bagi pegawai yang berdepan kesesakan lalu lintas ekoran Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung bulan ini.

JPA turut menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan pendekatan Kerajaan Madani dalam menekankan tadbir urus berdaya tahan dan prihatin, sejajar dengan nilai teras Madani seperti kesejahteraan, ihsan, serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Pegawai awam yang layak disaran berhubung dengan Ketua Jabatan masing-masing untuk pertimbangan sewajarnya.

“Pelaksanaan dasar ini hendaklah berpandukan tatacara dan syarat yang telah digariskan dalam MyPPSM,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat