Penjawat awam diberi pilihan pulang 30 minit awal sepanjang Ramadan

PUTRAJAYA: Penjawat awam diberi pilihan untuk pulang setengah jam lebih awal daripada waktu bekerja sebenar sepanjang Ramadan ini sekiranya mereka memilih untuk memendekkan waktu rehat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diputuskan menerusi peraturan waktu bekerja fleksi dengan penjawat awam diberi dua pilihan.

“Pilihan A ialah mereka boleh kekal dengan waktu kerja biasa atau pilihan B iaitu mengambil waktu rehat yang lebih singkat 30 minit dan menggunakan masa itu untuk pulang 30 minit lebih awal.

“Bagi kakitangan awam, mereka boleh merujuk kepada ketua jabatan atau ketua kementerian untuk mendapatkan penjelasan, terutamanya jika mereka belum mengisi borang yang diperlukan atau memaklumkan tempat kerja tentang pilihan mereka.

“Bagi yang memilih Pilihan B, anda boleh pulang 30 minit lebih awal, tetapi pastikan kerja anda selesai,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Katanya, keputusan ini dicapai setelah perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, penjawat awam boleh merujuk lanjut perkara itu dengan ketua bahagian masing-masing.

“Penjawat awam mereka boleh rujuk sama ada ketua bahagian mereka ataupun (ketua) jabatan, TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha) ataupun KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk penjelasan sekiranya mereka belum lagi mengisi borang tersebut ataupun memaklumkan pilihan mereka,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat