Penjawat Awam Jangan Terdorong Agenda Luar, Fokus Pada Tugas – CUEPACS

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan penjawat awam perlu kekal fokus kepada tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa terpengaruh agenda luar.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, profesionalisme dan integriti penjawat awam perlu dipertahankan bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.

“Penjawat awam adalah tunjang kestabilan negara. Mereka tidak boleh terlibat dalam sebarang perhimpunan atau tindakan yang menjejaskan imej perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa penjawat awam wajib mengekalkan prinsip berkecuali serta sentiasa mematuhi etika dan tatasusila perkhidmatan.

Menurutnya, penjawat awam sebagai pelaksana dasar kerajaan juga harus mendukung sepenuhnya prinsip Rukun Negara, terutama Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

“Tindakan yang menyimpang dari prinsip ini bukan sahaja mencemarkan nama baik perkhidmatan awam malah mengganggu kelangsungan pentadbiran negara,” ujarnya.

CUEPACS turut menyeru penjawat awam agar tidak terpengaruh dengan provokasi atau gerakan yang boleh menjejaskan keutuhan pentadbiran awam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengenai penglibatan segelintir penjawat awam dalam perhimpunan tertentu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap prinsip berkecuali dalam sektor awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat