Semua penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perlis akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, langkah berkenaan adalah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam yang sudah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi BKK setengah bulan gaji tertakluk kepada minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam.
“Bayaran ini akan dibuat pada akhir Februari tahun depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Perlis ketika Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, di Kangar pada Selasa lapor Harian Metro.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan dan motivasi semua penjawat awam yang berkhidmat do negeri itu termasuk pegawai lantikan secara kontrak.
“Oleh hal demikian, mulai tahun hadapan, kerajaan negeri bersetuju untuk menambahbaik kemudahan kepada pegawai lantikan secara kontrak seperti cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti kuarantin dan cuti hospitalisasi .
“Pelaksanaan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seramai 154 orang pegawai lantikan kontrak,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa sebagai menghargai jasa dan sumbangan pegawai lantikan kontrak di bawah kerajaan negeri, tawaran kadar gaji baharu akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.
Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa Belanjawan Tahun 2024 Negeri Perlis memperuntukkan sejumlah RM293.92 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan dan ia adalah belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan oleh kerajaan negeri itu.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM184.64 juta atau 62.82 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM109.27 juta atau 37.18 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus.
Baca juga: