Penjawat awam Pulau Pinang terima bantuan khas Aidilfitri 19 Mac

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 kepada 7,066 anggota perkhidmatan awam negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, BKK itu sebagai tanda penghargaan atas komitmen merealisasikan Visi Penang2030.

Tambahnya, BKK akan dibayar pada 19 Mac dengan peruntukan keseluruhan RM7.81 juta.

“BKK turut dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri, tertakluk kepada keupayaan kewangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kon Yeow turut memaklumkan BKK sebanyak RM300 bakal diberikan kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah rendah agama rakyat (SRAR), sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) dan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.

Anda Mungkin Berminat