Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tindakan kerajaan Madani dalam melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat memberi banyak manfaat buat rakyat serta negara, selain memastikan bantuan dapat diagihkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, keputusan kerajaan untuk menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter menerusi rasionalisasi subsidi amat penting dilaksanakan secara beransur-ansur dengan penggunakan MyKad sebagai medium utama bagi menyalurkan bantuan.
Kata beliau, pendekatan itu bukan sahaja menjadikan agihan subsidi dapat dilaksanakan dengan tepat malah membuka ruang untuk dasar kerajaan dapat diperkemas dari semasa ke semasa.
“Dan yang paling penting sekali adalah bagaimana bantuan itu boleh disampaikan dan dalam hal ini, MyKad digunakan dengan sepenuhnya sebagai suatu alat dasar untuk menyampaikan pelaksanaan dasar tersebut.
“Maka saya percaya pada masa akan datang langkah rasionalis subsidi ini akan lebih dapat dipertingkatkan lagi dan diperkemaskan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Bangkit pada Rabu bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan melaksanakan pengagihan subsidi bersasar harga minyak RON 95 kepada RM1.99 selitar buat seluruh warganegara Malaysia.

Afzanizam turut mendedahkan bahawa pelaksanaan BUDI95 dijangka memberi penjimatan antara RM2.5 billion hingga RM4 billion, secara tidak langsung ia membolehkan kerajaan menyalurkan dana terbabit kepada bentuk bantuan lain yang lebih menyeluruh.
“Sebagai contoh, kalau kita lihat baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan penambahan peruntukan bagi Bantuan Sumbangan Asas Rahmah Sara (SARA) yang berjumlah RM2 bilion dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Kata beliau, dana daripada hasil penjimatan BUDI95 turut boleh digunakan untuk perbelanjaan membaik pulih dan mengekalkan infrastrukur dan perkhidmatan di sektor pendidikan dan kesihatan.
“Dana yang lebih itu mungkin boleh menggajikan lagi lebih ramai cikgu-cikgu yang berkemahiran dan pandai.
“Kalau di sektor kesihatan pula lebih banyak hospital di klinik-klinik kesihatan dapat menggaji lebih ramai lagi doktor jururawat, pembantu perubatan dan sebagainya bagi meningkatkan askes rawatan kesihatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Program BUDI95 bukan sahaja memastikan subsidi diagihkan dengan lebih adil malah memberi kesan berganda kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Baca juga: