PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini giat memantau penjualan produk rokok elektronik, termasuk vape, yang dijual secara dalam talian melalui platform seperti Facebook dan WhatsApp.
Langkah ini diambil berikutan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan potensi penyalahgunaan bahan terlarang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa MCMC sedang menyediakan laporan terperinci mengenai isu ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi perbincangan lanjut.
“Saya mengarahkan MCMC untuk meneliti jualan produk-produk seperti itu secara dalam talian.
“Kita dapati banyak daripada jualan itu juga berlaku dalam platform seperti Facebook, ada juga yang dijual melalui WhatsApp dan sudah pasti sebarang tindakan penguatkuasaan juga akan melibatkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan pindaan akta berkaitan rokok elektronik, Fahmi memaklumkan bahawa perkara tersebut akan diteliti oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
“Isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dan Kementerian Kesihatan akan meneliti langkah-langkah yang sesuai,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, menyatakan bahawa kerajaan negeri boleh mengambil tindakan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape, memandangkan terdapat kes pelajar sekolah seawal usia 13 tahun yang dikesan menggunakan vape mengandungi bahan terlarang.
Baca juga: