Penonton Mahu Pengalaman Premium, Bukan Sekadar Nyanyian – Iman Tang

Oleh: Aliyaa Azmi / Foto: Hazim Mutalib

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga tiket konsert sejak kebelakangan ini bukan semata-mata disebabkan faktor keuntungan, tetapi didorong perubahan selera penonton yang kini menuntut pengalaman hiburan lebih premium dan menyeluruh.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata budaya hiburan di Malaysia mengalami transformasi ketara, apabila penonton tidak lagi hadir sekadar mahu mendengar artis pujaan menyanyi secara langsung.

“Penonton hari ini mahu lebih daripada persembahan muzik. Mereka mahukan keseluruhan pengalaman iaitu visual, penceritaan, produksi pentas, pementasan, semuanya mesti luar biasa,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Menurutnya, apabila jangkaan penonton terhadap standard persembahan meningkat, kos penganjuran turut melonjak seiring dengan permintaan terhadap teknologi pentas, sistem bunyi dan visual yang lebih canggih.

“Bila standard naik, bajet produksi juga naik. Ini antara faktor harga tiket meningkat. Penonton masa kini menilai keseluruhan nilai pengalaman, bukan sekadar lagu,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Iman mengakui artis juga semakin memilih sebelum bersetuju menjayakan sesebuah konsert, termasuk menilai standard produksi dan nilai komersial yang ditawarkan.

Beliau menambah, trend konsert “multi-night” kini menjadi pilihan ramai artis kerana lebih berbaloi dari segi pulangan dan tenaga kerja.

“Jika di Malaysia satu malam sudah memadai sebelum ini, kini ramai artis mensyaratkan sekurang-kurangnya dua malam. Di Singapura, tawaran lebih besar dan pulangannya lebih baik, sebab itu ramai artis memilih ke sana terlebih dahulu,” ujarnya.

Iman berpendapat landskap hiburan tempatan perlu terus berkembang seiring permintaan global, malah Malaysia dilihat berpotensi menjadi hab konsert antarabangsa jika sokongan industri dan dasar berkaitan dapat diperkukuh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat