Pentadbiran Wilayah Persekutuan Akan Berteras Suara Rakyat – Hannah Yeoh

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pentadbiran Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinannya akan berteraskan suara rakyat, dengan kerjasama rapat bersama Ahli Parlimen kawasan terlibat.

Menurut beliau, Ahli Parlimen memainkan peranan penting kerana mereka adalah pihak yang paling memahami keperluan dan cabaran masyarakat setempat.

“Suara rakyat adalah suara keramat dan wajar dijadikan asas dalam setiap keputusan pentadbiran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Hannah yang baru memulakan tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tumpuan awalnya adalah memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap dan berkesan.

“Saya akan memberikan penekanan kepada pembangunan mampan, perlindungan ruang hijau serta usaha mitigasi banjir di Wilayah Persekutuan.

“Segala dasar utama berkaitan Wilayah Persekutuan akan dibincangkan secara kolektif selaras dengan prinsip tadbir urus Kerajaan MADANI,” katanya.

Terdahulu, Hannah Yeoh menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala portfolio lama Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan diambil alih oleh Dr Mohammed Taufiq Johari.

Anda Mungkin Berminat