Oleh Nadhirah Akmam
NAMA penyanyi dan pelakon , Datin Juliana Azman Banos kembali menjadi perhatian selepas tampil semula di sosial media untuk latihan Konsert GenKru The Finale baru-baru ini.
Katanya, kemunculan terbaharu itu bukanlah dirancang, sebaliknya tercetus selepas dipujuk KRU dan didorong keinginan anak-anaknya untuk melihat dirinya kembali menyanyi di pentas seni.
“Sebenarnya saya sudah bersara. Kemunculan kali ini pun kerana KRU dah lama ajak, dan juga sebab anak saya nak tengok mama dia nyanyi,” katanya ketika ditemu bual portal Boom.
Juliana akui tidak merancang untuk kembali aktif sepenuhnya, namun menyifatkan projek ini sebagai detik istimewa buat dirinya dan keluarga.
“Kalau tidak, rasanya tak akan muncul kot,” katanya lagi.
Juliana mengakui tempoh menyepi selepas berkahwin diisi sepenuhnya dengan memberi tumpuan kepada keluarganya.
“Anak-anak saya adalah keutamaan. Saya memang fokus dengan keluarga,” jelasnya mengenai keputusan menjauh dari dunia hiburan.
Memiliki tiga anak berusia antara 12 hingga 18 tahun, Juliana berkata kehidupannya kini lebih tertumpu kepada rutin harian sebagai ibu.
“Hantar anak sekolah, luang masa dengan anak-anak dan keluarga. Itu saja,” katanya.
Ditanya sama ada rindukan kehidupan glamor sebagai selebriti, Juliana memilih jawapan jujur.
“Saya lebih suka kehidupan sekarang. Lebih tenang dan lebih privasi,” katanya.
Kemunculan Juliana ini turut mencetus keterujaan peminat lama, terutama yang mengikuti perjalanan kariernya sejak era 90-an dan hubungan akrabnya dengan KRU.
Kemunculan semula ini menjadi simbol nostalgia serta bukti bahawa sokongan keluarga, terutama anak-anak, mampu menghidupkan kembali semangat seorang artis veteran di pentas seni.
Baca juga:








