ARENA of Stars bertukar ungu malam tadi apabila lebih 4,600 peminat membanjiri konsert Violet Skies yang meraikan 30 tahun perjalanan seni Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bukan sekadar persembahan, konsert ini menjadi bukti hubungan istimewa antara penyanyi tersohor itu dengan peminat setianya.
Dibuka dengan lagu ikonik Aku Cinta Padamu dan Pendirianku, Siti terus mengukuhkan reputasinya sebagai penyanyi unggul tanah air.
Menampilkan 19 lagu, termasuk Beradu di Khayalan, Seindah Biasa dan medley seperti Usah Diragui dan Purnama Merindu, konsert penuh emosi ini turut diselitkan dengan kejutan istimewa.
Antara detik paling menyentuh, apabila Siti memenuhi permintaan peminat untuk menyanyi bersama anak saudaranya, Ahmad Dayyan.
Penampilan spontan mereka menerusi lagu Seribu Kemanisan dan Azimat Cinta mendapat sorakan gemuruh penonton yang tersentuh dengan momen peribadi itu.
“Saya sendiri tak sangka Dayyan akan naik ke pentas malam ini. Tapi sebab permintaan peminat, saya tunaikan,” ujar Siti selepas persembahan itu.
Turut memeriahkan pentas, penyanyi Noh Salleh yang tampil bersama Siti menyuntik kelainan dalam persembahan yang penuh elemen kejutan.
Lagu Bengawan Solo membawa nuansa klasik, manakala Medley Rock dan Kita Kan Bersama pula menaikkan adrenalin dengan iringan visual futuristik dan pencahayaan dinamik.
Bagi penyanyi Cindai ini, konsert solo pertamanya di Stadium Putra Bukit Jalil, kini dikenali sebagai Axiata Arena pada 1999, diikuti puluhan konsert lain, adalah manifestasi kecintaan beliau kepada peminat.
“Selama 30 tahun saya dalam industri muzik, macam-macam pengalaman dan kisah dilalui. Terima kasih jadi tulang belakang serta tak lain dan tidak bukan, keluarga, ibu dan suami yang izinkan saya teruskan kerjaya ini.
“Alhamdulillah, saya terus menyanyi untuk peminat terutama Sitizoners. Saya seronok melalui perjalanan ini bersama peminat.
“Saya fikir lebih 60 konsert saya jayakan sejak kira-kira 30 tahun lalu dan peminat masih setia. Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda,” katanya sambil disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada peminat yang jelas terharu.
Konsert ini membuktikan, selepas tiga dekad, aura Siti Nurhaliza masih utuh dan terus menyinari langit industri muzik tanah air.
Baca juga: