JOHOR BAHRU: Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan insiden melibatkan seorang pemandu yang memarahi anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di Jalan Austin Heights 7/4, berhampiran Sports Hub seperti yang tular dalam sebuah video, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian berlaku sekitar pukul 4 pagi pada 15 Jun lalu apabila kereta peronda jenis Proton Waja milik PDRM mengalami kerosakan pada sistem lampu hadapan, lampu belakang serta lampu isyarat kecemasan (beacon light).
Katanya, disebabkan itu, dua anggota RCJ terpaksa berhenti di tepi jalan sambil menunggu bantuan penyelenggaraan.
“Seorang lelaki tempatan kemudiannya menghampiri dan mempertikai kehadiran polis sebelum beredar tanpa insiden lanjut,” katanya.
Beliau berkata, penularan video tersebut dipandang serius kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyeru supaya sebarang aduan disalurkan terus ke balai polis berhampiran atau melalui talian 07-2182323.