KUALA LUMPUR: Penulis blog, Murray Victor Hunter telah menarik balik sepenuhnya beberapa artikel yang didakwa berunsur fitnah serta memohon maaf kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas mencapai penyelesaian bersama pihak berkuasa itu.
Hunter, seorang warganegara Australia yang berpangkalan di Thailand, mengakui bahawa artikel-artikel yang diterbitkannya mengenai MCMC dan pegawainya adalah tidak tepat, mengelirukan dan telah menimbulkan salah faham.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Hunter menyatakan rasa kesal atas penerbitan kandungan berkenaan dan memohon maaf sekiranya ia telah menyebabkan sebarang kemudaratan.
Beliau turut mengesahkan semua artikel dan komen berkaitan yang disenaraikan dalam Jadual 2 dan 3 Perjanjian Penyelesaian telah ditarik balik sepenuhnya.
“MCMC dan saya telah mengadakan perbincangan serta mencapai persefahaman melalui satu Perjanjian Penyelesaian. Saya mengakui komen dan artikel saya mengenai MCMC dan pihak berkaitannya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan dan menimbulkan salah faham.
“Oleh itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya penerbitan tersebut telah menyebabkan sebarang kerugian kepada MCMC atau pihak berkaitan, dan dengan ini saya menarik balik sepenuhnya semua komen serta artikel terbabit,” katanya.
Artikel-artikel berkenaan diterbitkan antara April hingga November 2024 menerusi beberapa platform termasuk Substack milik Hunter, Eurasia Review serta X (dahulu dikenali sebagai Twitter), yang mengandungi dakwaan terhadap MCMC.
Penyelesaian itu dicapai susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2025 yang memutuskan bahawa Hunter bertanggungjawab atas fitnah, selain menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak dan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam kenyataan sebelum ini, MCMC menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai peringatan penting bahawa hak untuk bersuara tidak boleh disalahgunakan bagi menyebarkan kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi pihak lain.
Menurut MCMC, laporan polis berkaitan penerbitan artikel tersebut telah dibuat di Malaysia dan Thailand masing-masing pada April dan Jun 2024.
Selain itu, satu lagi tindakan saman turut difailkan di Malaysia, dengan dokumen tuntutan telah diserahkan kepada Hunter di Thailand.
Baca juga:








