Penumpang Pandu Bot Tanpa Lesen Dan Jaket Keselamatan, Maritim Malaysia Bertindak Tegas

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengusaha bot pelancong susulan video tular yang menunjukkan penumpang mengemudi bot tanpa kelayakan di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, video berkenaan turut memperlihatkan beberapa penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika bot sedang bergerak laju sehingga menimbulkan kebimbangan tentang tahap pematuhan terhadap prosedur keselamatan.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur kecuaian apabila nakhoda bot membenarkan penumpang tanpa lesen sah mengendalikan bot dan tidak memastikan pemakaian jaket keselamatan.

“Tindakan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa.

“Bot penumpang seharusnya dikendalikan oleh individu berlesen dan terlatih,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha bot terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut.

Maritim Malaysia turut memaklumkan bahawa pemantauan ke atas kandungan media sosial akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan dan undang-undang laut.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman termasuk denda, penggantungan lesen serta penahanan bot terhadap pengusaha yang cuai.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan maritim.

“Setiap pengusaha bot perlu bertanggungjawab dan tidak memperjudikan keselamatan penumpang,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat