KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM 0.6 Lebuhraya Link Kedua, Iskandar Puteri dalam arah menuju ke Singapura, kira-kira jam 7.00 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, kemalangan itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta jenis Maserati berwarna merah.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati pemandu Maserati terbabit telah membuat pusingan U secara melulu hingga melanggar pembahagi jalan tengah sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah motosikal jenis Honda RS berwarna kuning.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang juga merupakan seorang lelaki tempatan, telah terjatuh ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, kotak simpanan motosikal milik mangsa turut tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar dua motosikal lain, iaitu Yamaha MT-09 warna ungu dan Yamaha XMAX 250 warna kelabu.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua penunggang motosikal itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Keadaan menjadi tegang apabila pemandu Maserati terbabit dikatakan dipukul oleh pengguna jalan raya lain menggunakan topi keledar di lokasi kejadian.
“Polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.
Baca juga: