Penunggang Motosikal Maut, Anggota Polis Ditahan Memandu Secara Melulu

KANGAR: Seorang anggota polis ditahan selepas kenderaan pacuan empat roda milik pasukan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Persiaran Wawasan, di sini, malam Selasa.

Insiden itu meragut nyawa seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun, manakala seorang lagi mangsa cedera.

Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.20 malam ketika anggota berkenaan sedang melakukan rondaan rutin.

“Kenderaan itu bertembung dengan dua motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan seorang penunggang berusia 24 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi mangsa berumur 25 tahun cedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang cedera kini dirawat di zon kuning Hospital Tuanku Fauziah dan dilaporkan dalam keadaan sedar.

Mayat mangsa yang maut pula dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Maklumat awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan serta menasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Video insiden berkenaan turut tular di media sosial sejak awal pagi tadi, memaparkan anggota polis itu dikerumuni orang ramai sejurus selepas kemalangan berlaku.

Anda Mungkin Berminat