KLANG: Seorang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal dan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kampung Raja Uda, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 4.10 pagi, membabitkan sebuah Perodua Axia dan tiga motosikal.
“Ketika kereta menghampiri persimpangan Kampung Raja Uda, Klang dan membelok ke kanan dalam situasi lampu isyarat hijau, ia dilanggar sekumpulan penunggang motosikal (dipercayai samseng jalanan).
“Kumpulan itu bergerak arah Klang menghala Pelabuhan Klang yang tidak berhenti walaupun lampu isyarat merah.”
“Akibat pelanggaran, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun maut di tempat kejadian dengan kecederaan di kepala dan badan.
“Dua lagi yang cedera parah adalah operator kilang berusia 22 tahun, mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki, manakala seorang pelajar berusia 16 tahun, patah kaki sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramli berkata, kedua-dua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa disyaki terbabit dalam aktiviti samseng jalanan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib di talian 010-2452144.