Penunggang Motosikal Maut, Nahas Dua Kenderaan

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di simpang empat Jalan Kolam Air berhampiran stesen minyak Shell, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Yusof Othman, kejadian berlaku sekitar pukul 2.20 pagi apabila motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 71 tahun bersama seorang penumpang berusia 34 tahun.

“Penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum sepuluh tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun jika disabitkan kesalahan.

“Polis IPD Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya,” kata beliau.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Bahagian Trafik IPD Kota Tinggi bagi membantu siasatan.

Anda Mungkin Berminat