Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

Seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian setelah motosikal dinaikinya dilanggar sebuah kereta di simpang tiga Persiaran Puncak Alam 6, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta tersebut dari arah Alam Suria ingin membelok ke kanan simpang.

Menurutnya, kereta tersebut telah berlanggar dengan motosikal yang bergerak lurus dari arah Alam Jaya.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal yang berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohd Hafiz, pemandu kereta telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil menghubungi Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat