Seorang penunggang maut selepas enam motosikal terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 27.6, Lebuh Raya Kajang- Seremban (LEKAS) arah utara, Nilai, awal pagi Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh, berkata kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu berlaku ketika kumpulan motosikal sedang konvoi dari Seremban menuju Kajang.
“Sebuah daripada kumpulan motosikal itu dipercayai terbabas dan lima motosikal lain yang berada di belakang tidak sempat mengelak,” katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, seorang wanita berumur 22 tahun iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Lima penunggang lain yang cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban,” katanya.
Mat Ghani berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Hannan Ibrahim di talian 06-7904404,” katanya.
Baca juga: