KUANTAN: Seorang penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes memuat naik gambar memijak al-Quran, dibawa ke mahkamah untuk didakwa pada Selasa.
Suspek berusia 21 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis. Lelaki berkenaan yang memakai kemeja-T merah berlengan putih kemudian dibawa masuk ke mahkamah sekitar jam 9.05 pagi dalam keadaan bergari dan dikawal ketat anggota polis.
Dia dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) memaklumkan hasil penelitian terhadap kertas siasatan mendapati terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa lelaki terbabit.
Pelajar universiti berkenaan ditahan pada 25 Februari lalu selepas dipercayai memuat naik gambar memijak al-Quran menerusi akaun Threads miliknya.
Penahanan dibuat susulan laporan polis yang difailkan oleh bapanya sendiri kerana bimbang terhadap keselamatan anaknya susulan penularan gambar tersebut.
Tindakan memuat naik gambar memaparkan kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran berunsur penghinaan terhadap Islam itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.
Polis menerima sebanyak 82 laporan dari seluruh negara berhubung isu berkenaan, manakala 43 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.
Baca juga:








