Penurunan Had BUDI95 Hanya Sementara, Langkah Awal Lindungi Rakyat – Adam Adli

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menurunkan had penggunaan BUDI95 daripada 300 liter (L) kepada 200L adalah langkah sementara yang diambil kerajaan dalam menghadapi tekanan global susulan konflik Asia Barat.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Adam Adli Abdul Halim, berkata keputusan itu dibuat secara teliti berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan.

“Keputusan menurunkan had penggunaan BUDI95 daripada 300L kepada 200L bukan keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan, tetapi tindakan sementara yang terpaksa diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata konflik yang semakin meruncing memberi tekanan langsung kepada bekalan minyak, gas dan makanan global serta memberi kesan kepada kos sara hidup.

“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI memberanikan diri untuk berterus terang dengan rakyat.

“Analisis menunjukkan purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100L sebulan dengan majoriti besar rakyat menggunakan kurang daripada 200L.

“Kerajaan memilih pendekatan yang lebih teliti dan berhemat dengan menyesuaikan had penggunaan tanpa menaikkan harga BUDI95 yang kekal pada kadar RM1.99 seliter,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan turut memastikan kumpulan tertentu tidak terjejas apabila pemandu e-hailing dan pekerja gig terus diberikan had sehingga 800L, manakala Sabah dan Sarawak kekal menikmati diesel subsidi RM2.15 seliter.

“Subsidi ini hak rakyat, bukan ruang untuk penyeludup merompak kekayaan negara,” tambahnya.

Pada masa sama, Adam berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengadakan perbincangan dengan pemimpin serantau dalam usaha mencari jalan damai di Asia Barat serta memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.

“Langkah ini perlu dilihat dalam kerangka lebih besar sebagai usaha kerajaan bertindak awal, telus dan bertanggungjawab bagi menjamin kestabilan negara serta melindungi rakyat daripada kesan krisis yang berpanjangan” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat