KUALA TERENGGANU: Sebanyak 25 ekor ternakan, terutamanya kerbau, dilaporkan mati akibat jangkitan penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) di Kampung Dusun Tembakau, Manir, sejak Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengesan penyakit tersebut dan segera melaksanakan langkah kawalan bagi menghalang penularan.
Menurutnya, antara tindakan pantas yang diambil termasuk pengeluaran notis arahan kuarantin mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953 yang telah diserahkan kepada penternak terlibat pada Khamis.
“JPV negeri juga telah mengeluarkan surat larangan pemindahan keluar dan masuk lembu serta kerbau dari kampung terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, larangan tersebut meliputi kawasan sejauh lima kilometer dari lokasi wabak dan akan terus berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak.
Bagaimanapun, katanya, pemindahan ternakan masih dibenarkan ke dua lokasi yang ditetapkan, iaitu rumah sembelih JPV di Gong Badak, Kuala Nerus serta rumah sembelih swasta berlesen di Kampung Tok Rimau, Kuala Terengganu.
Dr Azman berkata, bagi mengurangkan risiko penularan wabak, kerajaan turut memberikan bantuan nyahkuman (dekontaminasi) berupa satu tong kapur berklorin kepada enam penternak yang ternakan mereka terkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa vaksinasi telah menjadi langkah utama bagi mencegah penyakit itu.
Tahun lalu, JPV negeri berjaya melaksanakan 11,731 suntikan vaksin hawar berdarah termasuk 342 suntikan di kawasan berisiko banjir seperti Setiu, Dungun dan Kuala Nerus.