Penyalahgunaan AI Grok Dikawal Selia, X Komited Perkukuh Keselamatan Platform – Fahmi

PUTRAJAYA: Ciri penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok kini dikawal selia dan tidak lagi boleh dieksploitasi, menurut platform media sosial X.

Untuk info, sebelum ini AI tersebut disalahguna untuk menghasilkan kandungan memudaratkan berunsur lucah, seksual dan sumbang

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disahkan oleh wakil pengurusan X bagi rantau Asia Pasifik dalam satu pertemuan kira-kira sejam di Menara Komunikasi di sini, pada Rabu.

“Semua pengguna tidak lagi boleh melakukan penyuntingan gambar atau video untuk menghasilkan kandungan lucah ataupun tidak sopan seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya, seperti dilaporkan Bernama.

Menurut Fahmi, pihak X turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam pelaksanaan inisiatif Kempen Internet Selamat, termasuk usaha menjadikan platform tersebut lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.

“Pengurusan X menyatakan kesungguhan untuk memastikan platform X menjadi lebih selamat dan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan juga MCMC,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata MCMC melaporkan kadar permohonan penurunan kandungan di platform X setakat ini berada pada paras sekitar 50 peratus.

“Jumlah itu tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan beberapa platform lain, namun ia tidak bermaksud tiada masalah di platform tersebut. Secara keseluruhan, ini merupakan satu perkembangan yang positif,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan pasukan kementerian untuk mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat dengan pengurusan X bagi memastikan persekitaran internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Pada 11 Januari lalu, MCMC telah mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan berulang aplikasi itu untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.

Susulan insiden tersebut, Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata bahawa MCMC sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan aplikasi AI miliknya, Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat