PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan amaran keras terhadap penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin membimbangkan di platform media sosial, khususnya X.
Dalam kenyataan media pada Sabtu, MCMC menegaskan bahawa manipulasi imej wanita dan kanak-kanak menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan adalah satu kesalahan serius.
“Penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM),” tegas MCMC.
Kesalahan itu merangkumi penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan berunsur lucah, sumbang atau jelik melampau.
MCMC telah memulakan siasatan terhadap pengguna platform X yang disyaki melanggar undang-undang itu.
Langkah itu turut diperkukuh dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang mewajibkan semua platform dan penyedia perkhidmatan berlesen untuk mengambil tindakan aktif mencegah penyebaran kandungan lucah, tidak senonoh serta bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun X bukan penyedia berlesen di Malaysia, MCMC menegaskan bahawa platform tersebut tetap tertakluk kepada piawaian keselamatan dalam talian negara.
“Platform tersebut tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan,” kata MCMC.
Dalam satu nasihat susulan, MCMC turut menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia agar melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang tempatan khususnya berkaitan fungsi AI, ‘chatbot’ dan aplikasi manipulasi imej.
Pengguna internet dan mangsa digalakkan untuk melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC.








