DUNIA muzik kehilangan seorang lagi bintang apabila penyanyi bersuara emas, Roberta Flack yang popular dengan lagu ‘Killing Me Softly With His Song’, meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 24 Februari 2025.
Menurut laporan yang dikongsikan oleh BCC, pemergian Flack diumumkan oleh wakil mendiang menerusi satu kenyataan rasmi.
“Kami berduka cita terhadap pemergian Roberta Flack pada 24 Februari 2025.
“Mendiang menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di samping keluarganya.
“Flack mengharungi pelbagai halangan dan mencipta banyak pencapaian dalam hidupnya, juga dikenali sebagai seorang pendidik yang banyak berjasa, ” kata wakil mendiang.
Pada tahun 2022, beliau mengumumkan bahawa beliau menghidap penyakit motor neurone (gangguan saraf yang merosakkan sel yang mengawal pergerakan otot dalam tubuh) yang menyebabkan beliau tidak lagi boleh menyanyi.
Anak kelahiran Carolina Utara itu dibesarkan di Arlington, Virginia dan memulakan langkah awal dalam bidang muzik sebagai pemain piano.
Namanya mula dikenali ketika usia 30-an apabila lagunya, ‘The First Time Ever I Saw Your Face’ digunakan sebagai lagu latar dalam filem Play Misty For Me.
Lagu tersebut melayakkan Flack menerima anugerah Grammy pada tahun 1971, sebelum mengulangi kejayaan yang sama menerusi lagu ‘Killing Me Softly With His Song’ pada tahun berikutnya.
Roberta Flack akan dikenang sebagai seorang penyanyi yang berjaya mencipta impak besar dalam dunia muzik.
Beliau telah memenangi pelbagai anugerah dan diiktiraf sebagai salah seorang penyanyi soul terbaik sepanjang zaman.