Penyanyi rap, Nico meninggal dunia dalam tidur

PETALING JAYA: Malaysia kehilangan seorang lagi ikon seni, apabila penyanyi rap dan anggota kumpulan legenda Nico G, Nico, atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, menghembuskan nafas terakhir dalam tidur pada usia 52 tahun.

Beliau meninggal dunia di rumah seorang rakan di Kampung Baru, kira-kira pukul 11 malam tadi.

Berita sedih ini disahkan oleh bekas pengurusnya, Ayob Abd Majid, yang berkongsi bahawa arwah sering menjadikan Kampung Baru sebagai tempat persinggahannya.

Malangnya, usaha rakan untuk mengejutkan Nico ketika itu tidak berhasil.

Jenazahnya berada di Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Nico mencipta fenomena pada awal 1990-an bersama kumpulan Nico yang turut dianggotai Affa dan Dino.

Lagu “Inilah Nasibku” dari album sulung mereka, Buatan Los Angeles, menjadi anthem generasi ketika itu.

Selepas beberapa dekad menyepi, Nico kembali dengan semangat baharu melalui nama Nico G, menggambarkan cinta dan dedikasi mereka terhadap muzik.

Kehilangan beliau dirasakan oleh seluruh industri seni tanah air, bersama dengan para peminat yang terus mengenang legasi dan karya hebat yang ditinggalkan.

Al-Fatihah buat roh Allahyarham. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Anda Mungkin Berminat