JOHOR BAHRU: Penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad akan bermula awal tahun depan, melibatkan keseluruhan rakyat Johor termasuk 587,343 pelajar serta 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan dan restu baginda terhadap penukaran cuti hujung minggu di negeri Johor.
“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, yang mengumumkan penukaran cuti hujung minggu dan menitahkan agar saya dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan serta meneliti penyelarasan semula cuti ini dari semua aspek,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menjelaskan, perbincangan mengenai perubahan itu akan menitikberatkan pelbagai aspek, termasuk agama Islam, sambil memastikan penghormatan kepada hari Jumaat sebagai penghulu segala hari tetap dijaga.
Kerajaan negeri bersama Mufti Negeri Johor dan agensi-agensi terlibat, kini sedang memperincikan waktu kerja yang sesuai, terutama pada hari Jumaat bagi memberikan ruang yang mencukupi kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat.
“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan solat, penyelarasan ini juga akan membantu mengurangkan masalah penjadualan bagi sektor awam dan swasta, memberikan lebih ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama, serta memudahkan aktiviti rentas sempadan dan perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menyokong titah Tunku Mahkota Johor berkenaan penukaran cuti hujung minggu Johor.
Beliau menyatakan langkah tersebut akan memudahkan urusan perniagaan di peringkat nasional dan antarabangsa serta memberi lebih masa berkualiti kepada keluarga.
Jimmy Puah turut yakin bahawa perubahan itu akan memacu pertumbuhan ekonomi Johor dan berharap 1 Januari dijadikan cuti umum bagi menyelaraskan urusan perniagaan dan sosial.
Baca juga: