Penyelesaian Sempadan Lambang Kedaulatan, Kebersamaan Malaysia-Indonesia – PM

PETALING JAYA: Penyelesaian sempadan merupakan simbol kedaulatan serta keyakinan bersama antara Malaysia dan Indonesia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menjelaskan bahawa walaupun masih dalam rangka Perundingan Tahunan Ke-13, Malaysia dan Indonesia telah membuktikan betapa nilai sejarah, budaya yang rapat serta kepimpinan berprinsip boleh menjadi asas kerjasama dua hala yang kukuh.

“Hari ini saya bersama Presiden Prabowo Subianto telah menoktahkan satu lagi lembaran penting dalam hubungan strategik antara dua bangsa serumpun.

“Pelbagai isu telah dirungkai secara tegas, berani dan berhemat.

“Daripada penyelesaian mengenai sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu, hingga pemeteraian pelaburan rentas sempadan di sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan keterjaminan makanan yang membawa maksud bahawa ia bukan sekadar proses diplomatik biasa, tetapi satu iltizam kenegaraan yang berpasak pada pragmatisme,” katanya.

Anwar menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam membela nasib nelayan, pekerja migran dan komuniti sempadan melalui dasar yang menjunjung maruah dan kemanusiaan.

Menurut Anwar, pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin dilihat sebagai pemangkin penting ke arah kesejahteraan di sempadan Sarawak–Kalimantan.

Perdana Menteri menambah bahawa sesi rundingan juga membuka ruang bagi kerjasama masa depan dalam bidang kesihatan, pendidikan tinggi, industri halal serta pendigitalan.

“Walhasil, ia pastinya akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua negara, selain merintis hala tuju masa depan ASEAN yang lebih bersatu dan bersedia mendepani cabaran global, dari Myanmar hingga Gaza,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengangkat peranan Malaysia dalam kerangka ASEAN untuk menangani konflik serantau dengan hikmah dan ketegasan.

“Sepertimana yang terjelma dalam Mesyuarat Khas Kemboja-Thailand di Kuala Lumpur semalam (Isnin).

“Dunia tentunya memerhati dan Malaysia tidak akan berganjak dari prinsip keadilan, keamanan dan budaya wacana yang sihat,” tambahnya.

Anwar turut menekankan bahawa Malaysia tidak akan berpuas hati dengan pendekatan reaktif, sebaliknya akan tampil dengan agenda yang jelas dan berpaksikan nilai serta prinsip.

“Hubungan Malaysia-Indonesia hari ini akan terpatri sebagai wahana ampuh kepada kebangkitan serantau yang jitu dan bermaruah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat