Penyerang Liverpool, Diogo Jota Meninggal Dunia Pada Usia 28 Tahun

SEPANYOL: Dunia bola sepak hari ini digemparkan dengan berita pemergian Diogo Jota, penyerang berbisa Liverpool FC dan Portugal, bersama adiknya André dalam satu kemalangan ngeri di Zamora, Sepanyol.

Kejadian menyayat hati itu berlaku awal pagi tadi di lebuh raya A-52 berhampiran Cernadilla, apabila kereta yang dinaiki kedua-dua beradik terbabas sebelum terbakar.

Mereka terperangkap dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jota, 28, baru sahaja melangsungkan perkahwinan dua minggu lalu dengan Rute Cardoso, ibu kepada tiga anak mereka.

Adiknya, André Jota, 26, turut aktif sebagai pemain bola sepak profesional bersama kelab Penafiel.

Kedua-dua beradik ini dikenali bukan hanya kerana bakat mereka, tetapi juga keperibadian yang ceria dan rendah diri.

Sepanjang kariernya di Liverpool, Jota mencatatkan 65 gol dalam 182 penampilan, termasuk detik-detik gemilang dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara UEFA.

Sumbangannya kepada skuad Portugal juga tidak ternilai, dengan 49 cap bersama pasukan kebangsaan.

Persekutuan Bola Sepak Portugal menyifatkan kehilangan ini sebagai “satu tamparan besar kepada komuniti bola sepak” dan memuji Jota sebagai “teladan dalam dan luar padang.”

Setakat ini, Liverpool FC belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun peminat dan rakan sepasukan mula membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan kenangan penuh kasih terhadap mendiang.

Anda Mungkin Berminat