KUALA LUMPUR: Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dan isu ini perlu ditangani segera, kata, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.
Menurut beliau, jurang itu bukan berpunca daripada kekurangan bakat dalam kalangan wanita, sebaliknya disebabkan oleh beban kerja berganda yang terus membelenggu mereka.
“Hal ini berlaku walaupun wanita mendominasi pengajian tinggi dengan kadar penyertaan universiti mencecah 57 peratus,” katanya.
Berdasarkan data sehingga tahun 2022, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja hanya sekitar 55.8 peratus, jauh lebih rendah berbanding 82 peratus bagi lelaki.
“Lebih tiga juta wanita menyatakan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga menjadi punca utama mereka tidak bekerja berbanding hanya sebilangan kecil lelaki yang memberi alasan sama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Tengahari sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Dunia (WWEBS) Ke-4 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini.
Fenomena ini, katanya, turut disokong oleh data global yang menunjukkan wanita menanggung 76.4 peratus daripada keseluruhan beban penjagaan tidak berbayar dengan purata 4.5 jam sehari berbanding lelaki hanya 1.4 jam.
Nurul Izzah turut menekankan konsep ‘syif kerja berganda’ yang dialami wanita iaitu bekerja secara formal pada siang hari dan menguruskan rumah tangga selepas pulang.
“Kerajaan perlu mencari penyelesaian bagi merapatkan jurang kesaksamaan gender terutama dalam aspek penjagaan keluarga, teknologi serta dasar berkaitan pekerjaan jika mahu mencapai sasaran penyertaan wanita sebanyak 60 peratus dalam tenaga kerja dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujarnya.