Peragut Menyamar Jadi Penghantar Makanan Ada Tujuh Rekod Jenayah, Positif Dadah

MELAKA: Tindakan berani sekumpulan penunggang e-hailing penghantar makanan bukan sahaja berjaya menggagalkan cubaan seorang peragut melarikan diri, malah membantu pihak polis menyelesaikan lima kes ragut yang dilakukan suspek di sekitar daerah Melaka Tengah sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden yang berlaku pada 23 April di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Malim menjadi titik tolak kepada penahanan seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah ragut.

“Kejadian menjadi tular selepas video berdurasi 47 saat dimuat naik di Facebook, menunjukkan penunggang e-hailing bertindak menahan suspek selepas dia meragut seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian turut mengesahkan bahawa suspek memiliki dua rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Nimetazepam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Dzulkhairi, pelbagai barang turut dirampas bersama suspek iaitu dua telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha Y15, pelbagai kad bank dan kad pengenalan, serangkai kunci dan wang tunai RM107.

Suspek kini direman selama enam hari sehingga 29 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tular di media sosial kepantasan sekumpulan ‘abang Food Panda’ dan orang awam membanteras jenayah berhasil apabila berjaya membantu polis menangkap seorang peragut lelaki disyaki menyamar sebagai penghantar makanan petang semalam.

Kejadian ragut itu dipercayai berlaku di sebuah pasar raya di Bachang sebelum disedari sekumpulan penghantar makanan Food Panda.

Berdasarkan video tular berdurasi 46 saat menunjukkan suspek berbaju hitam kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian.

Anda Mungkin Berminat